Sebelum
masuknya Ramadhan, datang terlebih dahulu Sya’ban. Ramai yang memfokuskan
dirinya kepada amalan-amalan kala Ramadhan, seperti Solat Tarawih, membaca
Al-Quran dengan banyak, berpuasa sepanjang siang selama 30 hari, bersedekah
dengan banyak, menjauhi kejahatan dan kemungkaran. Namun ramai tidak mengetahui
bagaimana hendak mensinergikan Sya’ban dan Ramadhan, dalam mencapai Ramadhan
yang lebih berkualiti.
Jika
seseorang yang mahu memasuki acara larian 10KM, bermula berlari hanyalah pada
hari pertandingan tersebut, apakah yang akan terjadi kepadanya?
Penat.
Pancit. Tewas. Tidak dapat menghabiskan larian.
Dia
sepatutnya berlatih lebih awal, mempersiapkan diri, mempertingkatkan stamina.
Itu sepatutnya. Begitulah Ramadhan.
Rasulullah
SAW yang Telah Menunjukkan Contoh.
Aisyah
RH berkata: “Rasulullah
SAW berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka, dan baginda
berbuka sehingga kami menyangkakan baginda tidak mahu berpuasa. Aku sama sekali
tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan
Ramadhan, dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa(pada bulan
selain Ramadhan) melainkan Sya’ban.” Hadith Riwayat Bukhari.
Rasulullah
SAW sendiri memperhebatkan amalan baginda kala Ramadhan. Bahkan di dalam hadith
lain riwayat An-Nasa’i, baginda Rasulullah SAW bersabda menyatakan bahawa
Sya’ban adalah bulan yang dilupakan, dan baginda suka berpuasa di dalam bulan
tersebut kerana bulan tersebut adalah kala amalan diangkat menghadap Allah SWT.
Maka baginda suka amalan baginda diangkat dalam keadaan baginda berpuasa.
Ini
semua, jangan sekadar dipandang secara literal. Tetapi kita perlu memandang
konteksnya. Mengapa dianjurkan memperhebatkan amalan di dalam Sya’ban? Kerana
selepasnya adalah Ramadhan.
Besarnya
fadhilat Ramadhan itu, agar ummat Islam mampu menggapainya, maka dianjurkan
latihan semenjak Sya’ban. Agar stamina keimanan terbina, kekuatan jasad sudah
dipertingkat, bagi mencapai Ramadhan yang penuh dengan pelbagai fadhilat.
Tidakkah kita memerhatikan?
Sya’ban,
Latihan Penuh Kesungguhan.
Maka
di dalam Sya’ban kita latih diri kita. Berpuasa banyak, agar berpuasa kala
Ramadhan tidak menjadi sukar buat kita. Mula menambah amalan, agar amalan yang
berganda dalam Ramadhan tidak menjadi berat buat kita.
Di
sini, kita nanti akan ‘terbiasa’, maka di dalam Ramadhan kita hendak
mempertingkatkan kebaikan-kebaikan kita, bukan lagi menjadi satu kesukaran buat
jiwa.
Sudah
kita susun di dalam Sya’ban ini jadual amalan, dan sudah mula kita aturkan
langkah meninggalkan keburukan-keburukan. Mulut yang celupar, sikap yang suka
mengumpat dan mengeji, perbuatan yang tidak senonoh, semuanya kita usahakan
untuk ditinggalkan.
Sya’ban
sepatutnya diisi sedemikian.
Agar
kita dapat menggapai Ramadhan dengan penuh keimanan.
Penutup: Maka Jangan Biarkan Sya’ban Berlalu Begitu Sahaja.
Kita
nak berlari 10KM, dan ada masa sekitar sebulan lagi. Tetapi kita tidak
menggunakan sebulan itu untuk berlatih dan memperkuatkan diri, agar kita boleh
berlari dengan yakin, kuat, pantas pada acara itu nanti. Maka pada hari larian,
awalnya kta berlari dengan pantas. Di pertengahannya pancit kepenatan.
Inilah
dia keadaannya Ramadhan kita nanti, sekiranya kita tidak berusaha semenjak
Sya’ban ini.
Separuh
Ramadhan, kita sudah kebosanan dan keletihan. Kita mula mencari keseronokan lain
seperti menghabiskan masa menonton drama, juga sibuk menghias rumah secara
berlebihan hingga meninggalkan agenda utama Ramadhan – mempertingkatkan kualiti
hati dan diri.
Rasulullah
SAW bersabda: “Barangsiapa
yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berkira-kira(untuk
memperhebatkan lagi amalannya), maka akan diampunkannya untuknya dosa-dosa yang
telah berlalu.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Ganjaran
sangat besar. Keampunan!
Jadi
mengapa berlengah membazirkan Sya’ban?
Ayuh,
isinya dengan usaha-usaha peningkatan agar kita mampu mencapai kualiti maksima
Sang Ramadhan!